Akhir-akhir ini, hangat diperkatakan mengenai penipuan yang berkaitan dengan menjaga beg orang yang tak dikenali. Antara yang paling kerap adalah apabila seseorang itu meminta menjagakan begnya semasa ketiadaan dia. Akhirnya, penjaga beg yang menjadi mangsa kerana ada barang terlarang di dalam beg tersebut.
Aku pun ada kisahku sendiri. Pelbagai. 'Menjaga' beg orang dan meminta orang menjaga begku. Dua-dua mempunyai risiko tersendiri. Menjaga beg orang berisiko terdapat barang terlarang di dalam beg yang boleh menjerat si penjaga beg. Memberi kebenaran orang lain untuk menjaga beg berisiko beg digeledah dan barang dicuri. Lagi teruk, jika ada barang terlarang pula dimasukkan ke dalam beg dan secara otomatik kita menjadi keldai barang terlarang.
Apa-apapun, berhati-hati dan 'exercise good judgement'.
Apa-apapun, berhati-hati dan 'exercise good judgement'.
- Semasa aku berada di sebuah kafe di Aberdeen, ada sebuah beg yang ditinggalkan orang di ruang kafe. Pekerja mula menanyakan pelanggan siapakah empunya beg. Di U.K., beg tanpa pemilik di tempat awam merupakan sesuatu yang merisaukan. Semasa di Manchester dua dekad dahulu, susah untuk mencari tong sampah di tempat awam. Modus operandi pengganas adalah meletakkan bom di dalam tong sampah.
- Lain pula kisahnya di Jerman. Aku asyik melayan rakanku mengacu baju semasa jualan murah di kedai pakaian Jack Wolfskin sehingga aku terlupa langsung beg sandangku. Selamba sahaja keluar berlenggang. Aku teringat semula semasa berada di kedai lain. Apabila aku kembali semula untuk mendapatkan beg, beg aku itu telah disimpan oleh pekerja di kaunter. Tiada banyak soal, tanpa kelihatan risau, beg aku disimpan dengan baik dan diserahkan kembali kepadaku.
- Aku membawa kiriman barang rakan untuk rakannya yang bekerja di Beethovanhaus. Orangnya tiada, jadi akupun meminta rakan sekerjanya untuk berikan padanya bila dia masuk kerja nanti. Dia tidak melihat pun isi beg itu, terus mengambil tanpa banyak bertanya ataupun kelihatan risau.
- Di Tromso, aku dan rakan mempunyai banyak masa sebelum pergi ke lapangan terbang. Kami singgah di 'Tourist Information Centre'. Pekerja di situ baik dan ramah orangnya. Sudi menumpangkan beg kami dan membenarkan kami menggunakan bilik air.
- Aku di lapangan terbang Cologne. Ada wanita yang berumur meminta untuk menjaga begnya, dia ingin pergi ke bilik air. Aku mengangguk walaupun di dalam fikiran terbayang amaran mengenai menjaga beg orang yang tak dikenali. Aku tidak memegang beg itu, cuma perhatikan dari tempat duduk. Sekembalinya dia dari bilik air, dia tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.
- Aku di sebuah stesen bas di Bangkok. Seorang perempuan Thai bercakap denganku bahasa Thai sambil menunjukkan tangannya ke arah beberapa beg. Ku kira dia pinta untuk perhatikan barangnya. Aku kata "English?" Dia kata dengan perlahan "Oh, English". Aku dapat mengagak yang dia tidak boleh berbahasa Inggeris. Dia tersenyum sambil berlalu. Dia tahu kami tidak boleh berkomunikasi. Ku lihat tidak pula dia meminta sesiapa yang lain untuk perhatikan begnya. Aku beralih tempat. Agak jauh dari beg tapi dapat melihat dengan jelas. Aku secara tidak rasmi tolong perhatikan begnya itu. Dia kembali ke begnya selepas selesai urusannya.
- Di Hatyai, aku terlepas van awal ke Thale Noi. Terpaksa menunggu beberapa jam untuk van seterusnya. Perempuan muda yang bertugas di kaunter tiket fasih berbahasa Melayu. Dia mencadangkan aku pergi ke sebuah kompleks membeli belah yang berdekatan dengan berjalan kaki. Aku bertanya di mana aku boleh simpan beg ku kerana agak berat untuk aku bawa berjalan jauh. Dia menawar untuk menyimpannya untukku. Aku setuju. Dia membuka pintu ruang kecil di mana dia bertugas dan aku letakkan beg di belakang kerusinya. Sekembalinya aku ke kaunter, aku mengambil kembali beg dan ucapkan terima kasih. Aku periksa mangga kunci. Tidak terusik.