Pada satu Sabtu, aku berjalan dengan rakanku di Bad Godesberg. Kami masuk ke sebuah kedai yang menjual barangan terpakai. Sementara rakanku menelek baju, mataku terpaku pada sekeping gambar yang tergantung di dinding. Bingkainya tebal berwarna biru dan gambar itu terdiri daripada beberapa lakaran kecil bertemakan langit. Warnanya meriah, sebahagian besar terdiri dari warna kuning, kontras dengan bingkainya.
Aku amat berminat dengan gambar itu. Aku bertanyakan harganya kepada wanita yang menjaga kedai itu. Orangnya kecil dan cantik. Dia berkata €5. Aku memberitahunya aku ingin membelinya. Kedudukan gambar itu agak tinggi, jadi dia meminta aku datang lagi setengah jam untuk suaminya pulang ke kedai dan boleh menurunkan gambar itu.
Aku datang semula 30 minit kemudian. Suaminya telah berada di dalam kedai. Orangnya besar, mukanya tampan dan perwatakannya nampak baik dan lembut . Dia hanya mempunyai satu tangan.
Aku menunjukkan gambar itu dan memberitahunya aku ingin membelinya. Aku agak risau apabila dia menurunkan gambar itu dengan sebelah tangan. Aku menolongnya setakat yang aku boleh. Gambar itu agak berat. Agak mengah juga untuk aku membawa gambar itu pulang menaiki bas.
Sampai di rumah, aku perhatikan gambar yang kubeli tadi. Aku mula tertanya-tanya dari manakah datangnya gambar itu. Apakah sejarahnya? Siapakah pemilik sebelumku? Aku mula berangan. Agaknya sebelum ini ia berada di bilik kanak-kanak, memberi kegembiraan kepadanya setiap kali memandang gambar itu.
Sekarang ini, gambar itu tergantung di ruang tamu rumahku. Setiap kali aku melihatnya, aku teringat pasangan di kedai itu. Aku tidak tahu kehidupan mereka tetapi entah mengapa, aku selalu membayangkan mereka bahagia.