Lewat tahun 1990an, aku mengikuti satu pakej percutian ke Itali dengan seorang rakan.
Bersama kami mengikuti pakej ini ialah pasangan ibu dan anak. Ibunya, kecil sahaja saiznya. Aku rasa dia seorang yang mementingkan keterampilan diri. Anak perempuannya pula kelihatan seperti 'tomboy'. Tinggi orangnya dan tubuhnya agak tegap. Dia bukan seperti ibunya yang 'lady like'.
Pada mula perkenalan, kelihatan ibunya banyak tidak berkenan dengan apa yang anaknya buat. Seingat aku, ada sekali tu, anaknya membeli satu 'souvenir' keretapi kayu di mana gerabak-gerabaknya adalah huruf. Dia membelinya daripada penjaja di kaki lima. Selepas membeli, dia terus memasangnya di kaki lima tersebut. Ibunya menjuihkan mulut, tanda tidak berkenan. Kalau aku, tak ku pandang pun benda ini, mungkin ini fikirannya.
Pada satu malam, di hotel kami menginap terdapat sebuah piano di lobi. Selepas makan, kami semua melepak di ruang rehat ini. Anaknya mula memainkan piano tersebut. Tanpa nota, begitu lancar permainannya. Sungguh merdu. Memukau kami yang mendengarnya. Semua bertepuk tangan selepas selesai lagu dimainkan.
Aku perhatikan ibunya. Ibunya tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dengan anaknya itu. Tersenyum simpul apabila semua memuji anaknya itu. Seolah-olah, dia yang mendapat pujian.
Hati ibu, anak akan tetap nombor satu di hati.