Aku tidak begitu yakin untuk memandu di luar negara. Aku telah cuba. Pengajar yang garang telah menyebabkan tahap keyakinanku semakin menurun.
Lalu, penggunaan pengangkutan awam.
Pelbagai kerenah yang dijumpai. Dan kebaikan hati manusia.
Lalu, penggunaan pengangkutan awam.
Pelbagai kerenah yang dijumpai. Dan kebaikan hati manusia.
Aku menaiki bas tiap-tiap Sabtu untuk membeli barang keperluan rumah. Juga, untuk membeli makanan halal seperti ayam goreng dan 'burger'. Satu kenikmatan bagiku yang terpaksa memasak disebabkan ketiadaan makanan halal berdekatan rumah dan pejabat. Paling tidak, terpaksa makan 'salad'. Takku pandang 'salad' bila di Malaysia.
Pada satu Sabtu, seperti biasa aku menunggu bas untuk balik ke rumah dengan beg galas yang penuh dengan barang yang baru dibeli. Bila bas sampai, aku duduk di hadapan. Aku dapat merasakan yang pemandu bas itu agak berlainan.
Dia sangat prihatin terhadap penumpangnya. Seseorang tertinggal barang, dia cuba sedaya upaya memanggil kembali penumpang yang terlupa itu. Dia juga peramah. Menyapa penumpang dengan ceria dan ikhlas.
Aku menekan loceng apabila bas menghampiri perhentianku. Selalunya jika aku duduk di bahagian hadapan, aku akan mengucapkan terima kasih kepada pemandu sebelum turun. Selalunya, tiada balasan. Mungkin suaraku terlalu perlahan, atau pun mungkin sebab lain.
Aku terkejut bila dia membalas ucapanku dengan salam. Aku toleh kepadanya dan senyum. Dia juga tersenyum.
Hariku berbunga hari itu.
Hariku berbunga hari itu.
Pada Sabtu yang lain, aku duduk bersebelahan dengan wanita yang berhijab. Muda dan cantik. Dia menyeluk sakunya dan mengeluarkan segenggam penuh dengan kekacang. Dia beri kepadaku. Aku terkejut. Tersenyum dan berterima kasih. Kekacang itu hampir habis aku makan sebelum sampai ke rumah.